| Kepentingan Ilmu dan Tanggungjawab Terhadapnya |
| Written by admin | |
| Monday, 20 December 2010 | |
Oleh:
Abd. Rasyid Bin Idris @ Adir Presiden Institut Al-Qayyim, Bukit Mertajam, P.Pinang
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, para sahabat dan sesiapa yang menuruti jejak langkah mereka hingga hari Kiamat.
Allah S.W.T telah mengarahkan manusia supaya mengetahui hakikat bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah melainkan Allah. Firman Allah S.W.T: Mafhumnya: "Ketahuilah bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah".
Al-Imam al-Bukhari telah meletakkan tajuk untuk ayat ini dengan katanya: "Bab: berilmu sebelum berkata-kata dan beramal"
Dalam mengulas hal ini, Ibn Hajar telah menukilkan perkataan Ibn al-Munayyir bahawa: beliau (al-Bukhari) memaksudkan bahawasanya ilmu adalah suatu syarat sahnya suatu perkataan atau perbuatan itu. Kedua-duanya tidak diambilkira melainkan dengan ilmu. Ia mendahului keduanya; lantaran ilmu mensahihkan niat sedangkan niat pula mensahihkan amalan.
Oleh itu, kata-kata seperti "ilmu itu tidak bermanafaat melainkan dengan amalan" adalah suatu ungkapan yang kurang bertepatan dengan fakta ini. Ia juga seakan-akan merendahkan darjat dan urusan ilmu serta penuntutnya. Kertas kerja ini bertujuan untuk menegaskan beberapa perkara penting iaitu: 1. orang yang menuntut ilmu akan mendapat ganjaran yang banyak dari Allah S.W.T 2. menuntut ilmu suatu kemuliaan, justeru itu sangat tidak wajar jika orang yang hadir majlis ilmu sekadar mengisi masa lapang dan bersantai, bukan bertujuan menambah ilmu dan merebut setiap ganjaran yang dijanjikan. Semoga dengan pembentangan ini dapat mencapai hasrat yang mulia ini.
Kelebihan Ilmu:
Untuk mengetahui apa yang ditawarkan untuk penuntut ilmu, sangat elok kita merujuk terus kepada ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi S.A.W berkaitan dengannya.
1. Ilmu suatu nikmat dan kelebihan daripada Allah
2.Orang berilmu diiringkan dengan para malaikat
3. Ilmu mengangkat darjat pemiliknya
4. Ilmu asas takut kepada Allah
5. Ilmu kunci ke syurga
6. Orang berilmu pewaris para nabi
7. Ilmu menyambung kebaikan amalan
Memperolehi dan memikul beban ilmu:
1. Keperluan kepintaran dan kejernihan jiwa Kepintaran membawa kepada kesungguhan dalam menuntut ilmu dan mudah memahami isi pelajaran. Kejernihan hati membawa kepada kesungguhan dalam mengamalkan ilmu dan mempraktikkannya. Orang yang hanya memiliki kepintaran tanpa jiwa yang tulus hanya mampu menghafaz dan memperolehi ilmu tetapi tidak mampu mempraktikkannya apatah lagi menhadikannya amalan. Sementara orang yang tidak memiliki kedua-dua unsur ini, tidak akan memperolehi apa-apa.
2. Tips mendapatkan ilmu:
i- soalan yang baik ii- mendengar dan memberi perhatian iii- berusaha memahami iv- menghafaz v- mengajar vi- menyebar dan memelihara batasan-batasannya
3. Halangan bagi memperolehi ilmu:
i- malu bertanya ii- tidak beri perhatian yang sewajarnya iii- salah faham iv- tidak mengingati pelajaran v- tidak menyampaikan ilmu vi- tidak beramal dan menyebarkannya
Adab penuntut ilmu:
1. Niat yang ikhlas. Orang yang menjadikan ilmu semata-mata alat mendapatkan habuan dunia, tidak akan memperolehinya. 2. Bersungguh-sungguh. Orang yang bermalas-malas dan mengutamakan hawa nafsu tidak akan sabar dalam menuntut ilmu. Kata as-Syafi'e: "ilmu ibarat binatang buruan dan tali pengikatnya ialah dengan menulis/mencatat". 3. Bijak membahagikan masa. Waktu sahur adalah yang paling sesuai untuk menghafal, pagi untuk mengkaji, tengahari untuk menulis dan malam hari untuk mengulangkaji dan berbincang. 4. Bijak memilih guru. Kata Ibn Sirin: "Sesungguhnya ilmu ini (ilmu hadith) adalah agama, maka lihatlah kamu daripada siapa kamu mengambil agamamu". (Muqaddimah Sahih Muslim). 5. Merujuk kepada ahli ilmu. Mafhum firman Allah: "maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikr (ulama) jika kamu tidak mengetahui". (an-Nahl:43) 6. Mengurangkan bergaul dengan orang yang banyak bermain dan kurang berfikir. 7. Meninggalkan maksiat. Kata Waki' kepada as-Syafi'e: "sesungguhnya ilmu itu cahaya Allah dan cahaya Allah tidak akan ditunjuk kepada ahli maksiat". 8. Berdoa agar ditambah ilmu. Firman Allah: "…dan katakanlah (Muhammad)! Tuhanku! Tambahkanlah bagiku ilmu pengetahuan" (Toha:114)
Penutup
Menjadi tanggungjawab manusia beriman menuntut ilmu. Sikap tamakkan ilmu dan merasa tidak cukup dengan ilmu yang sedia ada merupakan suatu sifat mulia. Untuk itu juga sangat wajar bagi setiap penuntut ilmu menyediakan ruang dalam dirinya agar dapat berpatah balik dari pandangannya yang tidak tepat.
Janganlah dibiarkan keegoan menguasai jiwa hingga menyebabkan tidak bersedia mengaku kesalahan diri. Jadilah seperti para imam-imam salaf yang secara senang hati mengubah pendirian apabila sampai kepada mereka kebenaran. Contoh yang terbaik tentulah al-Imam As-Syafi’e yang menarik pendiriannya yang lama (mazhab qadim) kepada pendirian yang baru (mazhab jadid).
Semoga Allah mentaufiqkan kita semua untuk memperolehi ilmu yang diredhai-Nya.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan